7 Cara untuk Mengawal Perbelanjaan Anda

 In articles, Bajet, Hutang

KAWAL BELANJAPernahkah anda rasa bahawa tiba-tiba duit anda tidak mencukupi? Entah hilang kemana tanpa disedari. Rasa macam baru semalam terima gaji tetapi hari ni semuanya dah habis..

Cuba anda kenangkan kembali, pernahkah kata-kata ini keluar daripada mulut anda,

“Mana perginya semua duit aku ni?”

Saya mengaku yang saya juga pernah lalui situasi begini!

Konsep berbelanja dalam keadaan kita menyedarinya adalah sangat penting kerana hal ini dapat menghentikan kebiasaan kita yang sering berbelanja “ikut suka”.

Emosi dan kewarasan berfikir; kedua-duanya membawa peranan yang besar apabila kita berbelanja, jadi, sebagai permulaan, kita harus mengetepikan emosi apabila kita mahu berbelanja, kerana jika tidak, ia mungkin mempengaruhi setiap pilihan yang kita bakal lakukan dan akhirnya kita akan merana degan pilihan yang salah ini.

Namun,membina disiplin diri bukanlah perkara yang mudah, terutamanya apabila kita membincangkan soal kewangan. Jika anda sedang mencuba untuk mengawal perbelanjaan anda atau mencari jalan untuk membantu anda mengenalpasti keluar masuk duit anda, mari kita lihat beberapa teknik yang boleh digunapakai bagi meletakkan bajet anda dalam keadaan yang terkawal.

  1. Sampul Surat
    Sebelum ini anda mungkin pernah mendengar tentang cara ini, namun boleh jadi anda tidak nampak kegunaan dan keberkesanannya. Sekiranya anda mempunyai masalah berbelanja berlebihan dalam skop yang tertentu, cuba gunakan sampul surat untuk mengawal perbelanjaan anda. Misalnya, duit barangan runcit anda (keseluruhan) boleh diletakkan disatu sampul surat. Perkara yang sama boleh dilakukan untuk perbelanjaan makan atau rekreasi dan sebagainya. Anda tidak perlu membuat terlalu banyak kategori untuk berjaya menggunakan metode sampul surat ini, mulalah dengan langkah yang kecil pasti anda akan melihat betapa efektifnya ia!
  2. Gunakan Kad Baucar (Gift Card)
    Cara ini sama dengan sistem sampul surat, tetapi sebagai alternatif selain membawa wang tunai ataupun had kredit. Jika anda ingin meletakkan had perbelanjaan untuk barangan runcit atau hal yang seumpama dengannya, anda boleh menggunakan kad baucar bagi mengawal perbelanjaan anda.Cara ini sememangnya memerlukan sedikit penglibatan anda daripada awal melalui sistem prabayar. Barangan runcit yang anda beli di pasar raya seperti Tesco mahupun tempat beli-belah seperti IKEA ada menjual Kad Baucar (Gift Card), lalu apa yang perlu anda lakukan hanyalah memasukkan nilai yang anda inginkan. Idea yang sama juga boleh diaplikasi dengan menggunakan kad “Touch and Go” anda. Kad Touch & Go kini boleh digunapakai diserata tempat. Jadi, gunakan kad sebegini untuk menghadkan perbelanjaan anda. Bagi saya, saya hanya menggunakan wang tunai kerana saya benar-benar pasti barangan apa yang saya perlukan dan di samping itu saya tidak mempunyai apa-apa kad kredit bersama saya jadi ini boleh dijadikan inisiatif bagi orang yang sukakan plastik.
  3. Hadkan Lawatan Anda ke Tempat membeli-belah
    Mewujudkan sebuah jadual membeli-belah untuk membeli keperluan runcit atau barangan peribadi boleh membantu anda mengawal perbelanjaan. Rancang hari tertentu yang anda betul-betul perlu keluar untuk membeli dan elakkan sindrom ‘kelam-kabut’ di hujung bulan, kerana kita selalunya akan terlebih belanja ketika itu. Isteri saya mencatatkan tarikh-tarikh khas bila pasaraya atau kompleks beli-belah akan membuat jualan murah dan itulah masanya beliau akan pergi. Jadi, lakukan kerja rumah anda dan pergi tanya mereka bilakah jualan murah bagi setiap bulan akan dilangsungkan. Hanya sekadar perkongsian daripada saya sekiranya anda tinggal berhampiran tempat saya, AEON BIG di Kota Damansara mengadakan SALE pada 28 haribulan pada setiap bulan dan penantian anda sememangnya akan berbaloi kerana sebagai ahli, anda akan diberikan potongan 5%. Oleh itu jangan lupa mendaftar sebagai ahli ya!
  4. Tuliskan Setiap Pembelian yang Dibuat
    Jika pembelian yang kecil-kecil menyebabkan bajet anda lari, cuba anda bawa satu buku nota kecil bersama-sama ketika membeli-belah dan catatkan setiap item yang anda akan beli. Jika anda membayangkan bahawa anda akan berhenti di mesin snek atau menikmati secawan kopi di kafe berhampiran – itu juga perlu anda tuliskan! Hal ini akan menjengkelkan anda (bagus!) dan semoga ianya dapat memperlahankan anda dalam memutuskan barangan apakah yang anda benar-benar perlu. JANGAN BELI barangan yang tidak disenaraikan!
  5. Setkan Simpanan Anda kepada Mod Automatik.
    Cuba bayar akaun simpanan anda setiap bulan sepertimana yang anda lakukan dengan pembayaran bil. Bagaimanakah untuk melakukan perkara ini terserah kepada cara masing-masing. Kebanyakan online banking ada menyediakan pilihan pindahan duit secara automatik untuk setiap bulan.
  6. Cari ‘Rakan Duit” Anda
    Merancang matlamat bersama seorang rakan ataupun pasangan anda mampu membuatkan proses menabung menjadi lebih mudah terutamanya jika anda sukakan cabaran. Jika anda perlukan kebertanggungjawaban (akauntabiliti),jalankan sesi membezakan perbelanjaan bagi kedua-dua pihak sekerap sekali setiap dua minggu ataupun sebulan sekali. Jika anda tidak mahu sesiapa melihat perbelanjaan sebenar anda, maka anda perlu fokuskan kepada jumlah duit simpanan. Cabar satu sama lain untuk menaikkan jumlah simpanan daripada sebulan ke sebulan – ini secara naturalnya akan membentuk pola perbelanjaan anda.
  7. Buat “Peraturan 30 Hari”
    Disiplin terbesar dalam mengawal wang tunai anda adalah kebolehan untuk katakan “TAK NAK”, dan biarkan masa berlalu sejauh yang mugkin sebelum anda benar-benar terjebak dalam pembelian yang tidak penting. Perkara ini menjurus kepada pembelian barangan yang besar seperti komputer, TV, kereta, barangan hobi, atau perhiasan rumah. Idea utamanya ialah untuk membuang tabiat kita yang sering membeli secara melulu. Bertahanlah agar kita tidak lagi mengulangi kata-kata, “Mana perginya semua duit aku ni?”

Petua manakah yang anda rasa dapat membantu mengawal aliran tunai anda?Semoga langkah-langkah yang saya sebutkan diatas, dapat membantu anda mengawal perbelanjaan anda. Degan kenaikan harga minyak, sudah tentu banyak barangan akan turut dinaikkan harga sekali. Selain dari menambah pendapatan, kita juga harus berwaspada dan mngawal perbelanjaan kita.

Selamat mencuba!

Shazly Khan

Comments
  • Ribhiyah
    Reply

    Very time consuming hahaha

Leave a Comment

0