5 perkara yang patut anda rahsiakan dari media sosial.

 In articles, Produktiviti, Tarbiyyah

5 perkara yang patut anda rahsiakan dari media sosial.

Penggunaan media sosial kini telah menjadi keutamaan bagi masyarakat kita dan hampir pasti, setiap orang akan memiliki sekurang-kurangnya satu akaun sosial di alam maya ini. Ia telah mengambil kepentingan didalam kehidupan seharian kita sehingga kita menggunakannya untuk menceritakan segala yang berlaku didalam kehidupan kita dan kadangkala apa yang kita luahkan di media sosial merupakan sesuatu yang patut dirahsiakan dari pengetahuan orang lain.

Bagaimana kita harus kenalpasti apa yang patut di kongsikan dan apa yang sepatutnya di rahsiakan? Berikut adalah 5 perkara yang saya rasa patut dirahsiakan dari media sosial.

1- Pelan Perancangan Masa Hadapan.

Saya pasti mereka yang berkongsi pelan dan rancangan mereka merupakan mereka yang bermotivasi tinggi dan ingin menggalakan orang ramai untuk turut serta. Namun begitu, pelan perancangan ini mungkin terdapat kelemahan didalamnya dan jikalau anda terlepas pandang, ia boleh dilihat oleh orang ramai di media sosial. Sebaik-baiknya adalah untuk anda berkongsi hanya dengan mereka yang rapat dan dapat memberi  sumbangan dari segi idea dan pelaksaan rancangan tersebut.

2- Berkongsi Saham Akhirat

Kita sering lihat perkongsian tentang aktiviti ibadah yang menular di media sosial dan saya bersetuju, ianya bagus dan dapat mendorong orang ramai untuk turut serta. Namun begitu, aktiviti persendirian seperti solat, puasa Isnin dan Khamis dan apa jua sedekah yang telah kita lakukan haruslah disembunyikan dari pengetahuan masyarakat supaya keikhlasan itu dapat dijaga. Kita harus pandai mengunakan peluang yang ada untuk mengajak orang ramai untuk melakukan perkara-perkara yang baik tetapi  pada masa yang sama, merahsiakan amal ibadat kita. Ia merupakan rahsia antara kita dan Allah SWT sahaja. Rasullullah SAW perbah bersabda;

“Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, hamba yang hatinya selalu merasa cukup dan yang suka mengasingkan diri.”

[Mengasingkan diri bererti amalannya pun sering tidak ditunjukkan pada orang lain.]

HR. Muslim no. 2965, dari Sa’ad bin Abi Waqqas

3- Rahsia Kehidupan Anda

Terdapat beberapa perkara penting yang harus anda rahsiakan dari pengetahuan umum dan antaranya adalah cara anda menjalani kehidupan seharian. Tidak ada faedahnya jika anda menceritakan kepada orang ramai mengenai perihal peribadi seperti taraf kewangan anda ataupun hal-hal suami-isteri dan alam perkahwinan anda di laman sosial. Ia mungkin membuatkan orang lain berasa kurang senang dan mungkin juga ada yang akan meluat dengan apa yang anda kongsikan. Bagi saya, perkara seperti ini terlalu bahaya untuk pandangan mata dan pengetahuan orang lain kerana kemudaratan yang akan timbul dan ia juga mungkin disalah ertikan oleh orang lain yang tidak memahami tujuan anda berkongsi. 

4- Berkongsi Konflik Rumahtangga

Tidak dinafikan bahawa setiap keluarga akan ada turun-naiknya dan ada kala kita memang memerlukan tempat untuk meluahkan segala yang terpendam. Namun begitu, media sosial bukanlah tepatnya. Sebaliknya, anda harus merahsiakan dan tidak membuka aib keluarga anda dari dilihat oleh orang ramai kerana ia akan memalukan diri anda sendiri nanti. Perkara seperti ini adalah sangat sensitif dan mungkin akan menghantui anda pada masa hadapan.

5- Membuka Aib

Sememangnya terdapat banyak kegunaan media sosial dan memang terbukti, ia dapat membantu untuk menjadikan sesuatu perkara itu viral. Namun begitu, kita haruslah lebih beretika ketika ingin berkongsi sesuatu dan berfikir dahulu sebelum bertindak. Kita harus lebih bijak untuk membezakan apa yang boleh dikongsikan supaya dapat  dijadikan pengajaran dengan apa yang sensitif dan mungkin mendatangkan malu jika apa yang dikongsikan merupakan sesuatu yang tidak berasas. Sebaik-baiknya adalah untuk kita mengkaji dahulu berita yang diterima sebelum anda menekan butang ‘share’.

Allah SWT berfirman;

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].

Didalam suran An Nur pula Allah SWT berfirman;

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa ifk* adalah dari golongan kamu juga.Janganlah kamu kira berita bohong itu buruk bagi kamu, bahkan ia adalah baik bagi kamu.Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya, dan barangsiapa diantara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya adzab yang besar”. [An Nur : 11].

(*Ifk maksudnya ialah berita bohong)

Oleh itu, marilah kita mengambil pengajaran dan melakukan perubahan didalam kehidupan seharian kita di alam siber ini dan moga perubahan ini akan menjadikan kehidupan kita lebih harmoni dan positif dan inshaAllah diberkati.

Leave a Comment

0