4 Strategi Pengurusan Kewangan Islam

 In articles, Bajet, Bil, Goal Setting, Hutang, Investment, Tarbiyyah

 Dalam proses mencari bahan bacaan yang berlandaskan kewangan didalam Islam, saya terjumpa artikel ini. Saya rasa sangat tertarik dengan poin beliau dan saya rasa perlu untuk saya berkongsi dengan anda semua agar sama-sama kita dapat berkongsi ilmu dan mafaatnya, inshaAllah.

By  Norsa’adah Ahmad

4 Strategi Pengurusan Kewangan Islam | Norsa’adah Ahmad. (n.d.). Retrieved from http://norsaadah.com/kewangan-islam/

Dalam aspek kewangan, apakah matlamat kita untuk tahun 2018?
Seorang bapa muda yang baru menerima cahayamata sudah tentu menjangkakan perbelanjaan keluarganya bertambah dan mahu merancang lebih teratur. Jadi beliau boleh menetapkan matlamat untuk menjana pendapatan tambahan bagi menampung keperluan kewangan keluarga.

Seorang graduan yang telah mendapat pekerjaan boleh menetapkan matlamat untuk membayar hutang pinjaman pendidikan secara konsisten agar cepat selesai.

Matlamat kewangan mendorong anda untuk melaksanakan strategi atau taktik yang berkesan. Mereka yang berjaya telah berkongsi pelbagai tips untuk mencapai matlamat kewangan dalam hidup.

Islam sebagai agama yang lengkap memberi panduan dalam menguruskan kewangan dan harta. Empat strategi kewangan berikut adalah perkara yang dituntut dalam Islam supaya umatnya hidup sejahtera dan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

1. Mencari rezeki yang halal

Allah Maha Pemurah dan Pemberi Rezeki menyebut di dalam Surah Al-Jumuah, ayat 10 yang bermaksud:

“Kemudian, setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.”

Rezeki dan limpah kurniaan Allah itu sangat luas dan kita disarankan untuk mencari rezeki yang halal iaitu pekerjaan atau perniagaan hasil usaha jujur, bebas penipuan atau rasuah, tidak terlibat dengan perkara yang haram. Orang Islam yang beriman dan bertakwa akan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam riba’, arak, judi dan lain-lain hal yang dilarang oleh agama.

2. Melanggan produk takaful sebagai persediaan menghadapi musibah

Takaful ialah produk perlindungan yang berlandaskan syariah. Kontrak takaful berbeza dengan insurans kerana ia menggunakan konsep ‘bantu-membantu’ dalam kalangan peserta takaful. Tiada unsur faedah dan ketidakpastian (gharar) sebagaimana sebuah kontrak insurans.

Orang awam kadangkala menghadapi dilema apabila ejen takaful mempromosi pelan perlindungan yang ada di pasaran. Hal ini berlaku kerana terdapat terma yang kurang difahami dan ejen tidak memberi penjelasan yang mudah dan mencukupi.

3. Membuat pelaburan tanpa berhutang

Matlamat pelaburan ialah menambah nilai daripada apa yang anda miliki. Pakar kewangan tidak menggalakkan anda membuat pelaburan melalui pinjaman. Pelaburan tetap mempunyai risiko dan tahap risiko bergantung kepada jenis pelaburan yang anda sertai.

Pelaburan dalam saham berpotensi untuk mendapat untung yang tinggi, risikonya juga tinggi berbanding pelaburan unit amanah saham. Untung rendah,risiko juga lebih rendah.

Pinjaman akan mengikat anda dengan suatu komitmen hutang. Hutang perlu dijelaskan tidak kira anda membuat untung atau menanggung kerugian. Oleh itu, hutang akan menambah beban kewangan jika tidak diuruskan dengan betul.

4. Menunaikan zakat dan bersedekah (Infaq)

Zakat tidak sama sekali mengurangkan harta. Kadar 2.5 peratus daripada pendapatan amat besar ertinya bagi golongan yang memerlukan. Secara tidak langsung, pengeluar Zakat melaksanakan tanggungjawab sosial kepada saudara seagama. Infaq atau sedekah adalah pelengkap kepada Zakat. Sesiapa pun boleh memberi sedekah tanpa mengira jumlah harta dan ia boleh dilakukan bila-bila masa.

Apa yang lebih indah lagi, menderma ini tidak perlu buat seorang diri. Lakukan secara berkumpulan adalah perbuatan yang mulia. Seorang usahawan yang berjaya dan mempunyai syarikat dengan pendapatan berjuta setahun berkongsi bagaimana beliau mengajak orang lain menjadi jutawan akhirat sepertinya.

 

Leave a Comment

0